27 April 2011

LOGO / LAMBANG ATAU SIMBOL PERSATUAN

Perhatian;
Kepada semua ahli-ahli Persatuan Masyarakat Matu-Daro Di Miri.

Untuk pengetahuan semua ahli-ahli persatuan, logo, lambang atau simbol persatuan telah pernah dibuat dan dibincangkan semasa mesyuarat AJK Protem Persataun. Perkara ini telah d persetujui oleh semua ahli jawantankuasa pada mesyuarat tersebut. Logo, Lambang atau simbol adalah dibuat berdasarkan sumber-sumber alam semulajadi yang terdapat di daerah  tersebut dan merupakan sumber pendapatan seharian masyarakat Matu dan Daro. 

Walau bagaimana pun, logo, lambang atau simbol untuk persatuan tersebut kurang dipersetujui oleh pihak JPPN Cawang Miri dan Pegawai JPPN secara langsung menasihatkan supaya perkara itu dibincangkan semula. Di samping itu Pegawai tersebut menasihatkan, mana-mana logo yang melibatkan warna-warna rasmi Kerajaan Negeri Sarawak (merah, kuning dan hitam) perlulah mendapat kebenaran atau kelulusan  secara bertulis pihak Jabatan Ketua Menteri Sarawak terlebih dahulu.

Maka dengan itu logo, lambang atau simbol (Fasa 2) terpaksa di tangguh dan dikeluarkan dari dalam Perlembagaan. Walau bagaimana pun perkara tersebut boleh dibuat semula, dibincang dan di persetujui oleh AJK Persatuan serta ahli-ahlinya dalam Mesyuarat Agung Dwi Tahunan pada masa akan datang. 

(Nota: Contoh Logo, Lambang atau Simbol Persatuan yang pernah dihantar dan sebagaimana yang terkandung di dalam Perlembagaan)

SALINAN PERLEMBAGAAN PERSATUAN MASYARAKAT MATU-DARO DI MIRI


UNDANG-UNDANG BAGI
PERSATUAN MASYARAKAT MATU – DARO DI MIRI


FASAL  1: NAMA

            Nama persatuan ini ialah PERSATUAN MASYARAKAT MATU-DARO DI MIRI dan selepas ini   disebut “Persatuan”


FASAL 2 : TEMPAT URUSAN DAN ALAMAT SURAT-MENYURAT

(1)   Alamat tempat urusan dan surat-menyurat Persatuan Masyarakat Matu-Daro di Miri  ialah Lot 8724, Desa Indah 2, Lorong Permaisuri 3C, Bandar Baru Permyjaya, 98000 Miri atau tempat-tempat yang akan ditetapkan dari semasa ke semasa oleh Jawatankuasa.

(2)   Tempat urusan berdaftar dan alamat surat menyurat Persatuan ini tidak boleh diubah tanpa kebenaran Pendaftar Pertubuhan  terlebih dahulu.


FASAL 3 : TUJUAN / MATLAMAT

Tujuan / Matlamat Persatuan ini adalah untuk menggerakkan aktiviti-aktiviti  sosial seperti kebajikan, kebudayaan, sukan,  pendidikan, ekonomi dan perkara berkaitan bagi masyarakat Matu-Daro yang tinggal atau bermastautin di Miri ini. Tujuan khusus Persatuan ini adalah seperti berikut;

(1)    Menyatukan, mengeratkan hubungan persaudaraan, perpaduan, persahabatan dan persefahaman di kalangan ahli-ahli Persatuan kearah mewujudkan masyarakat yang harmoni, khususnya dikalangan masyarakat Matu-Daro yang menetap atau bermastautin di Miri;

(2)   Mewujudkan semangat kerjasama dan bantu-membantu antara satu sama lain, di samping menjadikan Persatuan ini sebagai pemangkin untuk menggalakkan para ahli dalam pembangunan sosio-ekonomi, pendidikan dan pembentukan jati diri agar seiring dan selaras dengan program pembangunan Negeri Sarawak dan Malaysia khususnya;

(3)   Sebagai penggerak dan pemangkin kepada pembentukan akhlak dan sahsiah terpuji ahli-ahli Persatuan melalui kerja-kerja amal, gotong-royong, rekreasi, sukan dan lain-lain aktiviti kearah melahirkan individu-individu, keluarga dan seterusnya masyarakat yang berkualiti, cemerlang dan terbilang selaras dengan misi kerajaan ke arah mencapai modal insan yang progressif dan produktif;

(4)   Menjadikan Persatuan ini sebagai perantara untuk memelihara dan mengenengahkan budaya dan tradisi masyarakat Matu-Daro dan tempat untuk menyalur informasi bagi faedah para ahli Persatuan dan juga masyarakat majmuk lain amnya.


FASAL 4 : KEAHLIAN

Seseorang yang ingin menjadi ahli Persatuan ini hendaklah berminat untuk memberi sumbangan khidmat bakti secara sukarela dari segi tenaga, kebendaan, khidmat kepakaran, nasihat, kaunseling serta sokongan moral kepada ahli – ahli yang menghadapi kesusahan atau memerlukan bantuan samada secara langsung atau tidak langsung, segera atau sebaliknya.

(1)               Keahlian Persatuan ini adalah Ahli Biasa sahaja dan terbuka kepada:-

(a)             Individu-individu yang berasal atau keturunan keluarganya daripada daerah Matu-Daro, Mukah yang kini tinggal di Miri, berumur 18 tahun ke atas dan warganegara Malaysia; dan

(b)             Mana-mana individu yang bukan berasal dari Daerah Matu-Daro, Mukah samada lelaki atau perempuan yang telah berkahwin dengan mana-mana masyarakat Matu-Daro, Mukah yang kini tinggal di Miri, berumur 18 tahun ke atas dan warganegara Malaysia.

(c)               Semua ahli layak mengundi dan diundi untuk memegang jawatan dalam Persatuan.

(2)             Tiap-tiap permohonan menjadi ahli hendaklah mengisi Borang Permohonan Keahlian yang disediakan oleh Persatuan, dicadang dan disokong oleh dua (2) orang ahli dan dihantar kepada Setiausaha yang dikehendaki mengemukakan permohonan itu dengan secepat mungkin kepada Jawatankuasa untuk diluluskan. Jawatankuasa boleh mengikut budi bicaranya menolak sebarang permohonan tanpa memberi sebab-sebabnya.

(3)               Tiap-tiap permohonan yang permohonannya telah diluluskan seperti tersebut di atas, hendaklah setelah membayar bayaran masuk dan yuran bulanan pertama yang ditetapkan diterima menjadi ahli Persatuan dan berhaklah ia menjadi ahli.

(4)               Seorang pelajar Universiti atau Kolej Universiti tidak boleh diterima menjadi ahli kecuali ia telah dibenarkan terlebih dahulu secara bertulis oleh Naib Canselor Universiti yang berkenaan.



FASAL 5 : Bayaran Masuk, Yuran Dan Bayaran-Bayaran Lain

(1)   Bayaran masuk dan yuran yang perlu dijelaskan adalah seperti berikut:

Bayaran masuk RM5.00 (Lima Ringgit Malaysia) untuk sekeluarga
Yuran bulanan RM3.00 (Tiga Ringgit Malaysia) untuk sekeluarga;  atau

(1.1)               Jika anak-anak yang sudah mencapai usia 18 tahun ke atas atau sudah bekerja, digalakkan untuk memohon menjadi ahli secara berasingan.

(2)          Yuran bulanan hendaklah dijelaskan kepada Bendahari dalam tempoh tujuh (7) hari dari awal tiap-tiap bulan.

(3)           Ahli yang membiarkan hutang yurannya lebih daripada tiga (3) bulan tidak dijelaskan akan menerima surat peringatan yang ditandatangani oleh Setiausaha atau wakilnya, dan hilanglah hak-hak keistemewaannya sebagai ahli sehingga hutangnya dijelaskan.

(4)           Ahli yang membiarkan hutangnya sebanyak lebih daripada jumlah yuran bagi tiga (3) bulan dengan sendirinya terhenti daripada menjadi ahli Persatuan dan Jawatankuasa boleh memerintahkan supaya tindakan yang sah diambil terhadapnya dengan syarat mereka berpuashati yang ahli itu telah menerima kenyataan berkenaan hutangnya terlebih dahulu.

(5)           Jawatankuasa mempunyai kuasa menetapkan bayaran masuk semula bagi sesiapa yang telah membiarkan keahliannya terlucut disebabkan hutang.

(6)           Yuran khas atau kutipan wang daripada ahli-ahli untuk perkara yang tertentu boleh dipungut  dengan persetujuan Mesyuarat Agung ahli-ahli. Sekiranya ada ahli yang mungkir membayar wang yuran tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan, maka wang itu akan dianggap sama seperti hutang yuran bulanan.


FASAL 6 : PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI

(1)           Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi ahli hendaklah memberi kenyataan bertulis sekurang-kurangnya satu (1) bulan terlebih dahulu kepada Setiausaha dan membayar segala hutangnya.

(2)          Mana-mana ahli yang gagal mematuhi undang-undang Persatuan atau bertindak dengan cara yang akan mencemarkan nama baik Persatuan boleh dipecat atau digantung keahliannya bagi suatu tempoh sebagai mana yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa. Sebelum Jawatankuasa memecat atau menggantung ahli tersebut, ahli itu hendaklah diberitahu akan sebab-sebab bagi pemecatan atau penggantungannya secara bertulis.  Ahli tersebut juga hendaklah diberi peluang untuk memberi penjelasan dan membela dirinya. Pemecatan atau penggantungan itu hendaklah dilaksanakan melainkan Mesyuarat Agung menunda atau membatalkan keputusan  itu atas rayuan oleh ahli tersebut.

(3)          Seseorang ahli yang telah dipecat daripada menjadi ahli menurut perenggan (2) di atas boleh merayu kepada Mesyuarat Agung atas pemecatannya,  yang akan memberi keputusan muktamad.

(4)           Mana-mana ahli yang telah dipecat tidak boleh diterima semula menjadi ahli dalam tempoh satu (1) tahun daripada tarikh beliau dipecat. Permohonan untuk menjadi ahli semula hanya boleh dipertimbangkan dengan syarat yang ditentukan oleh Jawatankuasa.


FASAL 7 : MESYUARAT AGUNG DWITAHUNAN

(1)           Pengelolaan Persatuan ini terserah kepada Mesyuarat Agung ahli-ahli. Sekurang-kurangnya satu perdua (1/2) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi atau dua (2) kali ganda jumlah ahli Jawatankuasa, mengikut mana yang kurang, hendaklah hadir di dalam Mesyuarat Agung bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupi korum untuk mesyuarat.

(2)           Jika korum tidak cukup selepas  setengah (½) jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh tidak lebih dari tiga puluh hari (30 hari) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa; dan jika korum tidak cukup selepas setengah (½) jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa meminda undang-undang Persatuan dan membuat keputusan-keputusan yang melibatkan semua ahli.

(3)           Mesyuarat Agung Dwitahunan bagi Persatuan hendaklah diadakan dengan secepat mungkin setelah akhir tahun kewangan yang kedua, pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa. Kerja-kerja Mesyuarat Agung Dwitahunan ialah:

(a)                 Menerima Laporan Jawatankuasa berkenaan kerja-kerja atau aktiviti-aktiviti Persatuan bagi dua (2) tahun lalu.

(b)                 Menerima Laporan Bendahari dan Penyata Kewangan yang telah diaudit bagi dua (2) tahun lalu.

(c)                 Memilih ahli-ahli Jawatankuasa dan melantik Juruaudit atau Juruaudit-Juruaudit untuk dua(2) tahun yang akan  datang.

(d)                  Menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan dalam mesyuarat itu.

(4)           Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli sekurang-kurangnya  empat belas (14) hari sebelum Mesyuarat Agung Dwitahunan diadakan satu agenda mesyuarat termasuk salinan peringatan mesyuarat dan laporan serta penyata kira-kira Persatuan bagi dua (2) tahun lalu yang telah diaudit. Salinan surat-surat ini juga hendaklah dibekalkan untuk dibaca oleh ahli-ahli di alamat tempat urusan Persatuan.

(5)           Mesyuarat Agung Khas bagi Persatuan ini boleh diadakan ;

(a)                 Bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa, atau

(b)                 Atas permintaan beramai-ramai dengan bertulis oleh tidak kurang daripada satu perlima (1/5) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi dengan menerangkan tujuan-tujuan dan sebab-sebab mengadakannya. Permintaan itu hendaklah dihantar kepada Setiausaha Persatuan.

(6)          Mesyuarat Agung Khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada suatu tarikh di dalam tempoh satu (1) bulan dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat itu.

(7)           Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Agung Khas itu hendaklah diedarkan kepada semua ahli oleh Setiausaha sekurang-kurangnya empat belas (14) hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk bermesyuarat.

(8)           Fasal 7(1) dan 7(2) di dalam undang-undang ini berkenaan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung Dwitahunan boleh digunakan untuk Mesyuarat Agung Khas tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas setengah (½) jam daripada waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli itu maka mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan dan dalam masa enam (6) bulan dari tarikh ini, Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan.

(9)          Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli satu salinan draf peringatan tiap-tiap Mesyuarat Agung Dwitahunan dan Mesyuarat Agung Khas dengan seberapa segera yang boleh setelah selesainya mesyuarat itu.
FASAL 8: JAWATANKUASA

(1)           Satu Jawatankuasa seperti berikut yang dinamakan pegawai-pegawai Persatuan hendaklah dipilih didalam Mesyuarat Agung Dwi Tahunan;

Seorang Pengerusi
Seorang Timbalan Pengerusi
Seorang Setiausaha
    Seorang Penolong Setiausaha
    Seorang Bendahari
    Seorang Penolong Bendahari
    Empat (4) orang Ahli Jawatankuasa Biasa
Satu (1) orang Ahli Jawatankuasa Biasa (dilantik oleh Pengerusi – jika perlu)

(2)          Pemegang-pemegang jawatan Pesatuan ini dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas eksekutif dalam Persatuan  ini hendaklah terdiri daripada warganegara Malaysia.

(3)           Nama-nama untuk jawatan-jawatan di atas hendaklah dicadangkan serta disokong  dan pemilihan akan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli di dalam Mesyuarat Agung Dwitahunan. Semua pegawai boleh dipilih semula tiap-tiap dua (2) tahun sekali dan seorang Ahli Jawatankuasa Biasa yang dilantik oleh Pengerusi juga layak dilantik semula setiap dua (2) tahun.

(4)           Fungsi Jawatankuasa ialah mengelola  dan mengaturkan kerja-kerja harian Persatuan dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan Persatuan mengikut dasar amnya yang telah ditetapkan oleh Mesyuarat Agung. Jawatankuasa seharusnya tidaklah boleh mengambil tindakan yang bertentangan dengan keputusan Mesyuarat Agung dengan tidak terlebih dahulu berhubung dengannya dan Jawatankuasa mestilah mematuhi keputusan Mesyuarat Agung. Jawatankuasa hendaklah mengemukakan laporan berkenaan kegiatannya dalam dua (2) tahun lalu kepada tiap-tiap Mesyuarat Agung Dwitahunan.

(5)           Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali di dalam tempoh tiga (3) bulan. Pengumuman  bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli-ahli tujuh (7) hari terlebih dahulu. Pengerusi dengan bersendirian, atau tidak kurang daripada empat (4) orang ahli Jawatankuasa bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan Mesyuarat Jawatankuasa pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli Jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum mesyuarat.

(6)           Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa dan mesyuarat tidak dapat diadakan , maka Setiausaha bolehlah mendapatkan kelulusan daripada ahli-ahli Jawatankuasa secara pengedaran surat Pekeliling. Syarat-syarat mengenainya seperti berikut mestilah disempurnakan sebelum keputusan Jawatankuasa boleh dianggap sebagai telah diterima:

(a)                 Masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan terang di dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada tiap-tiap Ahli Jawatankuasa;

(b)                    Sekurang-kurangnya setengah (½) daripada bilangan Ahli Jawatankuasa mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka terhadap cadangan itu; dan

(c)                    Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak. Sebarang keputusan yang diperolehi melalui surat pekeliling hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha kepada Mesyuarat Jawatankuasa berikutnya untuk disahkan dan dicatatkan di dalam peringatan mesyuarat.

(7)          Ahli-ahli Jawatankuasa yang mungkir menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa tiga (3) kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan diberi surat peringatan oleh Jawatankuasa.

(8)          Jika terdapat kekosongan atau perletakkan jawatan di dalam Jawatankuasa, maka Jawatankuasa bolehlah memenuhkan kekosongan itu dengan melantik mana-mana ahli untuk mengisikannya sehingga Mesyuarat Agung Dwitahunan diadakan.

(9)          Jawatankuasa boleh memberi perintah kepada Setiausaha dan pegawai-pegawai lain untuk menjalankan urusan-urusan Pesatuan dan melantik kakitangan yang difikirkan mustahak. Ia boleh menggantungkan atau melucutkan jawatan mana-mana kakitangan kerana cuai di dalam pekerjaan, curang, tidak cekap, engkar menjalankan keputusan Jawatankuasa, atau kerana sebab-sebab yang difikirkan merosakkan nama baik Persatuan.

(10)      Jawatankuasa adalah berkuasa melantik Jawatankuasa-Jawatankuasa Kecil bagi menjalankan urusan-urusan Persatuan yang mana difikirkan patut dan memberi kepada Jawatankuasa-Jawatankuasa Kecil kuasa-kuasa tertentu yang difikirkan perlu dan berguna dan menarik daripada Jawatankuasa-Jawatankuasa Kecil semua atau mana-mana kuasa yang diberi, patuh kepada mana-mana peraturan yang dikenakan dari semasa ke semasa oleh Jawatankuasa.



FASAL 9 : KEWAJIPAN-KEWAJIPAN PEGAWAI

(1)          Pengerusi, dalam tempoh memegang jawatannya,  hendaklah menjadi Pengerusi semua Mesyuarat Agung dan semua Mesyuarat Jawatankuasa dan bertanggungjawab ke atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat. Ia mempunyai undi pemutus dan hendaklah ia menandatangani peringatan mesyuarat bila telah diluluskan. Ia hendaklah menandatangani semua cek Persatuan bersama-sama dengan Setiausaha dan Bendahari.

(2)          Timbalan Pengerusi hendaklah memangku jawatan Pengerusi semasa ketiadaannya.

(3)          Setiausaha hendaklah menjalankan kerja pentadbiran Persatuan mengikut undang-undang dan hendaklah dia menjalankan perintah Mesyuarat Agung dan Mesyuarat Jawatankuasa. Ia bertanggungjawab mengendalikan urusan surat-menyurat dan menyimpan semua buku, surat dan kertas kecuali akaun dan buku kewangan. Setiausaha hendaklah menyimpan buku daftar ahli yang mengandungi butir-butir seperti nombor Siri, Nama, Tarikh Menjadi Ahli, Tempat dan Tarikh Lahir, Nombor Kad Pengenalan, Pekerjaan, Nama dan Alamat Majikan dan Alamat Rumah dan Nombor Telefon  tiap-tiap ahli. Ia hendaklah hadir di dalam semua mesyuarat dan membuat catatan mesyuarat. Ia hendaklah menandatangani semua cek Persatuan bersama-sama dengan Pengerusi dan Bendahari. Setiausaha hendaklah dalam masa enam puluh (60) hari daripada tarikh Mesyuarat Agung Dwitahunan diadakan (atau sekiranya tiada Mesyuarat Agung diadakan) mengirim Penyata Tahunan Persatuan kepada Pendaftar Pertubuhan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 14 (1) Akta Pertubuhan, 1966.

(4)          Penolong Setiausaha hendaklah menolong menjalankan kerja-kerja dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan Setiausaha.

(5)          Bendahari adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan Persatuan. Ia hendaklah membuat dan meyimpan kira-kira berkenaan semua perkara kewangan dan bertanggungjawab di atas ketepatannya. Ia hendaklah menandatangani semua cek Persatuan bersama-sama dengan Pengerusi dan Setiausaha.

(6)          Penolong Bendahari hendaklah menolong Bendahari menjalankan kerja-kerja dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan Bendahari.

(7)          Ahli Jawatankuasa Biasa hendaklah membantu Jawatankuasa dalam menjalankan tugas-tugas tertentu sebagaimana yang diarahkan olehnya.



FASAL 10 : KEWANGAN

(1)          Tahun kewangan Persatuan hendaklah bermula pada 01 Januari dan berakhir pada 31 Disember tiap-tiap tahun.

(2)          Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan dalam undang-undang ini, wang Persatuan ini boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan Persatuan, termasuklah belanja pentadbiran, bayaran gaji, biayaan dan perbelanjaan pegawai-pegawai dan kakitangan yang  bergaji serta upah memeriksa kira-kira. Walau bagaimanapun, wang itu tidak boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah  atau dibahagikan sebagai bonus atau dividen kepada ahli-ahli.

(3)          Bendahari dibenarkan menyimpan wang runcit tidak lebih daripada RM100.00 (Satu Ratus Ringgit Malaysia) pada sesuatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dimasukkan ke dalam bank dalam tempoh tujuh (7) hari yang diluluskan oleh Jawatankuasa. Kira-kira bank itu hendaklah di atas nama Persatuan.

(4)          Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang dari kira-kira Persatuan hendaklah ditandatangani bersama oleh Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari. Semasa ketiadaan Pengerusi, Setiausaha atau Bendahari maka bolehlah Jawatankuasa melantik sesiapa di antara mereka sebagai pengganti untuk menandatangani cek atau kenyataan pengeluaran wang Persatuan.

(5)          Perbelanjaan yang lebih daripada RM300.00 (Tiga Ratus Ringgit Malaysia) bagi sesuatu masa tidak boleh dibayar dengan tidak diluluskan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa, dan perbelanjaan yang lebih daripada RM10,000.00 (Sepuluh Ribu Ringgit Malaysia) bagi sesuatu masa tidak boleh dilakukan tanpa mendapat kebenaran Mesyuarat Agung terlebih dahulu. Perbelanjaan yang bersamaan atau kurang RM300.00 (Tiga Ratus Ringgit Malaysia) bagi sesuatu masa boleh diluluskan oleh Pengerusi bersama Setiausaha dan Bendahari.

(6)          Mengadakan kutipan wang / derma bagi menambah kewangan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti bagi mencapai objektif-objektif Persatuan ini dengan mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada Pendaftar Pertubuhan dan kelulusan pihak berkuasa yang berkenaan.

(7)          Penyata dari hal wang yang diterima dan dibelanjakan serta kunci kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari dan diperiksa oleh Juruaudit atau Juruaudit-Juruaudit yang dilantik dibawah Fasal 11 undang-undang ini dengan seberapa segera setelah tamatnya tahun kewangan. Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk kelulusan Mesyuarat Agung Dwitahunan yang berikutan dan salinannya hendaklah dibekalkan untuk makluman ahli di alamat tempat urusan Persatuan.


FASAL 11 : AUDIT

(1)          Seorang atau lebih yang bukannya pemegang-pemegang jawatan Persatuan hendaklah  dilantik di dalam Mesyuarat Agung Dwitahunan sebagai Juruaudit atau Juruaudit-Juruaudit. Dia / Mereka akan memegang jawatan selama dua (2) tahun dan boleh dilantik semula.

(2)          Juruaudit atau Juruaudit-Juruaudit adalah dikehendaki memeriksa kira-kira Persatuan bagi dua (2) tahun dan membuat laporan atau pengesahan untuk Mesyuarat Agung. Dia / Mereka harus juga dikehendaki bila-bila masa oleh Pengerusi memeriksa kira-kira Persatuan  bagi mana-mana masa di dalam tempoh jawatan dia / mereka dan membuat laporan kepada Jawatankuasa.


Fasal 12 : PERLANTIKAN PEGAWAI-PEGAWAI DI BAWAH SEKSYEN 9 (b) AKTA PERTUBUHAN 1966.

(1)          Tiga (3) pegawai yang terdiri daripada pemegang-pemegang  jawatan dan berusia lebih daripada 21 tahun hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Agung Dwitahunan bagi maksud Seksyen 9(b) Akta Pertubuhan 1966.

(2)          Mereka hendaklah memegang jawatan bagi tempoh dua (2) tahun dan mereka layak dilantik semula.

(3)          Pegawai-pegawai yang dilantik di bawah undang-undang ini hendaklah mengurus harta tetap Persatuan sebagaimana yang dikehendaki oleh Mesyuarat Agung tetapi semua harta tetap Persatuan hendaklah didaftar di atas nama Persatuan.

(4)          Mereka tidak boleh menjual, mencagar, menarik balik atau menukarkan harta kepunyaan Persatuan dengan tidak ada persetujuan dan kuasa yang diberikan oleh Mesyuarat Agung ahli-ahli.

(5)          Seorang pegawai yang diperakukan boleh dilucutkan daripada jawatannya oleh Mesyuarat Agung oleh sebab uzur kerana sakit, tidak siuman, tidak berada dalam negeri atau kerana sebab-sebab lain yang menyebabkan dia tidak boleh menjalankan tugasnya atau pekerjaannya tidak memuaskan. Jika berlaku kematian, perletakan jawatan atau pembuangan bagi seorang pegawai yang diperakukan sebelum Mesyuarat Agung, maka kekosongan itu bolehlah dipenuhkan oleh Mesyuarat Agung Khas yang diadakan untuk tujuan tersebut.

FASAL 13 : TAFSIRAN UNDANG-UNDANG

(1)          Di antara berlangsungnya Mesyuarat Agung, Jawatankuasa boleh memberikan tafsirannya kepada undang-undang ini dan Jawatankuasa, jika mustahak, boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam undang-undang ini.

(2)          Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat dalam Mesyuarat Agung, keputusan Jawatankuasa terhadap ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan Mesyuarat Agung.


FASALl 14 : PENASIHAT / PENAUNG

(1)          Jawatankuasa boleh, jika difikirkan perlu, melantik orang-orang yang layak menjadi Penasihat / Penaung bagi Persatuan ini dengan syarat orang-orang yang dilantik itu menyatakan persetujuannya secara bertulis.


FASAL 15 : LARANGAN

(1)          Permainan yang disebut di bawah ini tidak boleh dimainkan di dalam rumah Persatuan: Roulette, Lotto, Fan Tan, Poh, Peh Bin, Belangkai, Pai Kau, Tau Ngau, Tien Kow, Chap Ji Kee, Sam Cheong, Dua Puluh Satu, Tiga Puluh Satu, Sepuluh dan Setengah, semua permainan dadu, banker’s game dan semua permainan yang bergantung semata-mata kepada nasib;

(2)          Persatuan atau ahli-ahlinya tidak harus cuba menghalang atau dengan apa cara juga menganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di dalam gerakan kesatuan sekerja seperti definisi dalam Akta Kesatuan Sekerja 1959;

(3)      Persatuan ini tidak boleh menjalankan loteri sama ada dikhaskan kepada ahli-ahli atau tidak, atas nama Pertubuhan atau pegawai-pegawai atau Jawatankuasa atau ahli, tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa berkenaan;

(4)          “Faedah” seperti yang diterangkan di bawah Seksyen 2 Akta Pertubuhan 1966, tidaklah boleh diberikan oleh Persatuan kepada mana-mana ahlinya.

(5)          Mana-mana orang tidak boleh memegang jawatan dalam Persatuan, menjadi penasihat atau pekerja Persatuan jika ia telah hilang kelayakan menurut Seksyen 9A, Akta Pertubuhan 1966.


FASAL 16 : PINDAAN UNDANG-UNDANG

(1)          Undang-undang ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan mesyuarat agung. Permohonan atau pindaan kepada undang-undang hendaklah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa enam puluh (60) hari daripada keputusan Mesyuarat Agung meluluskan perubahan atau pindaan itu dan hanya boleh dikuatkuasa mulai daripada tarikh perubahan atau pindaan itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.


FASAL 17 : PEMBUBARAN

(1)          Persatuan ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima (3/5) daripada jumlah ahli yang menghadiri dalam suatu Mesyuarat Agung yang dipanggil khas kerananya.

(2)          Sekiranya Persatuan ini hendak dibubarkan secara yang disebutkan di atas, maka segala hutang dan tanggungan Persatuan yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Agung berkenaan.

(3)          Kenyataan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa empat belas 14 hari dari tarikh pembubaran itu.







……………………………..........                                                 ………..…………………………
                 Pengerusi                                                                                      Setiausaha

Nama : SUHAIMI B. RAMBLI                                                    Nama : SITI HASIMAH SEBOL