01 January 2011

Mengapa Bahasa Melanau Matu-Daro Sukar Untuk DiBukukan?

Beberapa tahun yang lalu, saya pernah menghadiri satu kursus, iaitu Kursus Penulisan Bahasa Melayu kalau tak silap saya. Semasa kursus itu banyak perkara yang kami belajar, antaranya ialah; tatacara menulis memorandum rasmi yang betul, menulis laporan, minit mesyuarat dan penggunaan bahasa melayu yang baik.

Ketika dalam kursus saya berkesempatan untuk bertukar-tukar cerita dengan  salah seorang rakan tentang beberapa perkara. Saya bertanya kepada beliau......"mengapa semua bahasa tidak dibukukan mengikut bahasa masing-masing, sebagaimana Bahasa Melayu yang mana boleh dibaca oleh pelbagai kaum di Malaysia?". Sejenak selepas itu rakan saya itu pun menjawab...."sebab ada di antara bahasa yang diguna-pakai oleh kaum kita di Malaysia agak sukar dari tatabahasa atau nahu nya". Saya pun bertanya lagi..."bagaimana dengan Bahasa Melanau?" dan, beliau pun berkata..."bahasa Melanau, ada antaranya senang untuk di sebut tetapi sukar untuk dieja, malah ada yang sukar untuk disebut dan sukar pula untuk dieja"....Selepas itu saya pun terfikir...mungkin ada benarnya kata-kata rakan saya tadi.....

Untuk membuktikan kata rakan saya itu mungkin benar, biarlah saya tunjukkan antara perkataan dalam bahasa Melanau Matu-daro amnya yang senang untuk 'disebut '  (orang Melanau Matu-Daro sendiri) tetapi sukar untuk dieja, sebagai contoh;

  1. at-tng @ atang - benar 
  2. ber-rn @ beren - tersumbat / tidak dapat bolos
  3. le-png @ lepang  - patah
  4. ba-tik' @ batik - patah
  5. a-sng @ asang - perasaan / rasa hati
Dan banyak lagi perkataan-perkataan yang tidak dapat saya catatkan di sini. Jika orang Melanau Matu-Daro menulis apa yang mereka cakapkan di atas sekeping kertas dalam bentuk nota, surat dan sebagainya, sudah tentu sekali amat sukar bagi bangsa lain di Sarawak ini ataupun orang Melanau dari daerah lain untuk memahami apa yang telah mereka tuliskan. Malah saya sendiri terpaksa menulis menggunakan Bahasa Melayu, supaya rakan-rakan lain dapat memahami apa yang hendak saya sampaikan.

Walau bagaimanapun, apa yang saya paparkan di sini adalah pendapat dan persepsi diri saya sendiri tanpa merujuk daripada pihak lain yang mungkin lebih arif dalam soal linguistik.