28 December 2010

Jika Salasilah Saya Begini, Bagaimana Pula Dengan Anda?

Teringat sewaktu saya masih kecil, tinggal bersama datuk dan nenek  (sebelah mak) di kampong. Pada masa itu, dikampong tidak ada bekalan elektrik, air paip, apatah lagi televisyen dan komputer. Bila menjelang waktu petang nenek selalu menyuruh saya dan sepupu saya memasang pelita minyak tanah, yang separuhnya bercampur dengan air. Disebalik cahaya lampu minyak tanah itulah datuk sering bercerita tentang macam-macam perkara, tentang kehidupan, agama, cerita dongeng, kekeluargaan dan sebagainya. Tetapi kebanyakkan cerita-cerita itu adalah cerita motivasi, walaupun hanya sekadar cerita seekor pelanduk dengan sang buaya yang bodoh. Semuanya ada pengajaran disebaliknya.

Tapi apa yang hendak saya ceritakan di sini bukan lagi cerita-cerita dongeng si pelanduk yang cerdik itu, tetapi cerita 'salasilah keluarga'  dan 'susur-jalur' keturunan nenek-moyang saya, yang selama ini sering membuat saya tertanya-tanya dan tercari-cari identiti sendiri. Yang ingin benar saya ketahui kebenarannya. Bukan kurang percaya yang telah diceritakan oleh datu-nenek saya sendiri, tetapi sekadar ingin mencari bukti yang terselindung entah di mana.


Menurut kata datuk, moyang lelaki (bapa datuk) saya berbangsa Iban yang berasal dari Simanggang (Sri Aman), sementara moyang perempuan (emak datuk) saya pula berasal dari kepulauan Indonesia, yang dipanggil Lampong Karam. Saya sendiri pun tidak tahu di manakah tanah itu. Walau bagaimana pun, datuk tidak menceritakan bagaiamana kedua moyang saya itu betemu dan menjadi suami isteri. Tapi datuk pernah menceritakan, moyang perempuan saya datang ke kampong dengan menaiki kapal layar bersama beberapa rakan yang lain dari Lampong Karam, Tujuannya adalah untuk menyebarkan siar Islam di samping mengajar ilmu agama. Tidak hairanlah, jika masa hidupnya moyang perempuan saya itu kerjanya mengajar anak-anak mengaji kitab suci al-quran. Bahkan datuk saya sendiri adalah orang yang sangat arif tentang ilmu  agama, malah datuk saya adalah satu-satunya anak mereka. Sementara di sebelah nenek perempuan pula, moyang saya berasal dari Mukah. Menurut cerita arwah bapa saya, moyang saya bergelar Orang Kaya Iso. Orang Kaya Iso adalah bangsa Melanau yang terkenal pada zaman dahulu. Orang yang berkedudukan atau berpangkat, sebab itulah beliau digelar Orang Kaya Iso. Arwah bapa saya pernah menyusun susur jalur keturunan Orang Kaya Iso ini kepada saya hinggalah ianya sampai ke salasilah kedua-dua nenek perempuan saya (iaitu nenek perempuan sebelah emak dan bapak, sebab kedua-dua nenek saya bersepupu).

Walau bagaimana pun, amat berlainan sekali dengan moyang di sebelah bapak saya. Menurut cerita arwah bapa saya, moyang lelaki saya berasal dari tanah Jawa. Patutlah semasa kecil-kecil dahulu saya pernah terlihat ada sekeping gambar perkahwinan lama (yang masih hitam putih) sepasang pengantin yang mana pengantin lelaki menggunakan pakaian Jawa yang lengkap dengan tengkolok Jawa di kepala. Rupa-rupanya itu adalah gambar moyang saya. Walaupun arwah bapa saya tidak pernah menyebut nama moyang saya itu tetapi arwah bapa saudara yang tua ( abang kepada arwah bapa saya) pernah memeberitahu bahawa nama moyang kami adalah 'Demang Gelimang Sutrawijaya'. Itulah nama sebenarnya..jika menurut cerita arwah bapa saya lagi, moyang saya itu bukan orang sebarangan (tidak payah lah saya teruskan....).

Begitulah serba sedikit salasilah dan susur-jalur keluarga saya. Salasilah inilah yang membuat saya tertanya-tanya dan tercari-cari identiti sendiri. Jika berpandukan cerita yang ada dan yang wujud, saya semakin tertanya-tanya, "Bagaimana saya boleh menjadi bangsa Melanau?" Bukan saya tidak mengaku orang Melanau tetapi....benarkah semua orang Melanau memang salasilah dan susur jalur keluaraga dan keturunan kami semua aslinya Melanau atau ianya wujud hasil dari campur aduk bangsa yang pelbagai. 

Nota: Tulisan saya ini hanyalah sekadar sebagai bahan untuk dibaca oleh orang yang ingin membacanya dan lalu berfikir tentang asal-usul diri sendiri. "Bare in mind..I'm The Real Melanau". 










25 December 2010

Susah Senang Bila Buat Perlembagaan Persatuan

Dulu....saya tertanya-tanya, susah sangatkah nak buat atau tulis 'Perlembagaan' , sampai ada yang terpaksa upah individu lain yang pakar atau lebih arif, mahupun yang banyak pengalaman baik dari segi tatacara  malah bahasa yang digunakan. Ada pula yang terpaksa libatkan 'lawyer'. Huhh...memang ada susah senangnya. Saya sendiri selalu cakap...."Bukan semudah cakap di kedai kopi ataupun semudah kita rancang itu dan ini!"....kini saya sudah tahu, malah jika ada pihak yang memerlukan tunjuk ajar sekalipun saya sanggup hulurkan tangan tapi bukanlah 100% sempurna. Setakat yang termampu.............

Cerita pasal 'Perlembagaan' Persatuan kita yang telah dihantar untur diperiksa dan dinilai oleh pihak JPPN (ROS), insyaallah....pembetulan telahpun dibuat. Dan, jika tiada apa-apa aral, kemungkinan dalam  masa 'sebulan' lagi ianya akan 'diluluskan'.....insyaallah...mudah2an. Dari kalangan kami AJK PROTEM yang sama-sama berbincang, mengkaji dan bermesyuarat dalam membuat Perlembagaan, mungkin sayalah orang yang paling gelisah dan merasa tidak sabar-sabar untuk melihat ianya diluluskan.

Sejak dari dulu lagi, memang banyak 'perkara dan aktiviti' yang terancang dalam kepala saya. Macam-macam perkara dan aktiviti yang saya nak buat. Saya nak tengok mimpi kami semua jadi kenyataan. Setelah semuanya selesai nanti, bolehlah saya goyang kaki sikit atau paling tidak pun 'konsentret pulak dengan hal-hal lain'. Dan, tak perlulah lagi saya berjaga sampai larut malam.

Buat semua rakan-rakan AJK PROTEM, terima kasihlah banyak-banyak atas kerja sama anda semua. Dan, buat Masyarakat Matu-Daro Di Miri, teruslah menyokong perjuangan kami. Kami akui sokongan anda semua adalah perangsang untuk memajukan keinginan dan apa yang kami dan kita idamkan.



14 December 2010

Orang Melanau Matu-Daro....Darimanakah Asalnya?

Akhir-akhir ini saya sering tertanya-tanya pada diri sendiri, dari mana asal-usulnya 'bangsa Melanau' yang ada di daerah Matu dan Daro?, Jika nak difikirkan...seolah-olah pertanyaan yang ada dalam kepala saya ini seperti satu soalan yang tidak perlu saya persoalkan. Tapi hati saya ini tetap ingin tahu, dari mana sebenarnya bangsa saya boleh berada di daerah ini.(Nota: Beritahu saya jika anda tahu)

Jarang sekali saya mendengar orang bercerita tentang asal-usul bangsa kami, malah pernah suatu ketika dulu saya cuba untuk menyingkap dan merujuk dari buku-buku termasuklah 'ensaiklopedia Sarawak Journal' tetapi sukar sekali untuk menjumpai catatan tentang bangsa Melanau amnya dari masyarakat kami dari daerah Matu-Daro. Ma'af, bukan tujuan saya untuk mempersoalkan kewujudan bangsa Melanau Matu Daro yang ada di daerah ini tetapi cuma terkilan, apakah tiada langsung catatan sejarah atau catatn antropologi tentang masyarakat kami. 

Pernah suatu ketika dahulu ketika saya belajar tentang antroplogi dalam pelancongan, saya bertanya kepada seorang Prof. 'mengapa sukar sekali untuk melihat catatan tentang bangsa Melanau di Sarawak ini? Prof itu itu berkata....agaknya, tidak banyak yang dapat ditulis tentang bangsa Melanau berbanding dengan tamadun bangsa Iban, Ini mungkin disebabkan ketamadunan bangsa Melanau seakan-akan seperti bangsa Melayu. Seingat saya, begitulah jawapan Prof tersebut.

Hinggalah sampai ke hari ini, saya masih tercari-cari bagaimana hendak mendapatkan segala latarbelakang sejarah, samada mitos ataupun legenda tentang masyarakat kami ini. Alangkah baiknya jika ada cendiakiawan dari golongan bangsa atau masyarakat kami sendiri yang mahu mengumpul semua fakta, membuat kajian seterusnya menulis tentang perkara ini. Saya sendiri teringin sangat hendak mengetahui apa sahaja cerita tentang masyarakat Melanau kami supaya dapat saya ceritakan kepada anak-anak saya agar mereka tahu asal-usul nenek moyang mereka sendiri. Sebab semakin hari, kebanyakkan perihal masyarakat kami bangsa Melanau Matu-Daro seakan-akan semakin hilang. Jika anda terbaca akan catatan saya ini, tanyalah pada sendiri bagaimana ianya hilang? Anda kan tahu jawapannya, biarpun sedikit..........

05 December 2010

FASAL 4 : KEAHLIAN

(Nota: Petikan Kandungan dari Undang-Undang Bagi Persatuan Masyarakat Matu-Daro Di Miri - Sebagai makluman untuk Ahli-Ahli Persatuan)


Seseorang yang ingin menjadi ahli Persatuan ini hendaklah berminat untuk memberi sumbangan khidmat bakti secara sukarela dari segi tenaga, kebendaan, khidmat kepakaran, nasihat, kaunseling serta sokongan moral kepada ahli – ahli yang menghadapi kesusahan atau memerlukan bantuan samada secara langsung atau tidak langsung, segera atau sebaliknya.

(1)               Keahlian Persatuan ini adalah Ahli Biasa sahaja dan terbuka kepada:-

(a)   Individu-individu yang berasal atau keturunan keluarganya daripada daerah Matu-Daro, Mukah yang kini tinggal di Miri, berumur 18 tahun ke atas dan warganegara Malaysia; dan

(b)   Mana-mana individu yang bukan berasal dari Daerah Matu-Daro, Mukah samada lelaki atau perempuan yang telah berkahwin dengan mana-mana masyarakat Matu-Daro, Mukah yang kini tinggal di Miri, berumur 18 tahun ke atas dan warganegara Malaysia.

(c)    Semua ahli layak mengundi dan diundi untuk memegang jawatan dalam Persatuan.

(2)             Tiap-tiap permohonan menjadi ahli hendaklah mengisi Borang Permohonan       Keahlian yang disediakan oleh Persatuan, dicadang dan disokong oleh dua (2) orang ahli dan dihantar kepada Setiausaha yang dikehendaki mengemukakan permohonan itu dengan secepat mungkin kepada Jawatankuasa untuk diluluskan. Jawatankuasa boleh mengikut budi bicaranya menolak sebarang permohonan tanpa memberi sebab-sebabnya.

(3)               Tiap-tiap permohonan yang permohonannya telah diluluskan seperti tersebut di atas, hendaklah setelah membayar bayaran masuk dan yuran bulanan pertama yang ditetapkan diterima menjadi ahli Persatuan dan berhaklah ia menjadi ahli.

(4)               Seorang pelajar Universiti atau Kolej Universiti tidak boleh diterima menjadi ahli kecuali ia telah dibenarkan terlebih dahulu secara bertulis oleh Naib Canselor Universiti yang berkenaan.

FASAL 3 : TUJUAN / MATLAMAT

(Nota: Petikan Kandungan Undang-Undang Bagi Persatuan Masyarakat Matu-Daro Di Miri - Sebagai makluman kepada Ahli-Ahli Persatuan)


Tujuan / Matlamat Persatuan ini adalah untuk menggerakkan aktiviti-aktiviti  sosial seperti kebajikan, kebudayaan, sukan,  pendidikan, ekonomi dan perkara berkaitan bagi masyarakat Matu-Daro yang tinggal atau bermastautin di Miri ini. Tujuan khusus Persatuan ini adalah seperti berikut;

(1)   Menyatukan, mengeratkan hubungan persaudaraan, perpaduan, persahabatan dan persefahaman di kalangan ahli-ahli Persatuan kearah mewujudkan masyarakat yang harmoni, khususnya dikalangan masyarakat Matu-Daro yang menetap atau bermastautin di Miri;

(2)   Mewujudkan semangat kerjasama dan bantu-membantu antara satu sama lain, di samping menjadikan Persatuan ini sebagai pemangkin untuk menggalakkan para ahli dalam pembangunan sosio-ekonomi, pendidikan dan pembentukan jati diri agar seiring dan selaras dengan program pembangunan Negeri Sarawak dan Malaysia khususnya;

(3)   Sebagai penggerak dan pemangkin kepada pembentukan akhlak dan sahsiah terpuji ahli-ahli Persatuan melalui kerja-kerja amal, gotong-royong, rekreasi, sukan dan lain-lain aktiviti kearah melahirkan individu-individu, keluarga dan seterusnya masyarakat yang berkualiti, cemerlang dan terbilang selaras dengan misi kerajaan ke arah mencapai modal insan yang progressif dan produktif;

(4)   Menjadikan Persatuan ini sebagai perantara untuk memelihara dan mengenengahkan budaya dan tradisi masyarakat Matu-Daro dan tempat untuk menyalur informasi bagi faedah para ahli Persatuan dan juga masyarakat majmuk lain amnya.

Kami Buat Apa Yang Kami Cakap

Hari ini, (05 Disember 2010 - Ahad), kami AJK Protem Persatuan Masyarakat Matu-Daro Di Miri, bermesyuarat lagi untuk kali ke-3. Mesyuarat ini semata-mata untuk membincang dan membuat pembetulan terhadap PERLEMBAGAAN Persatuan yang telah dihantar kepada pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negara JPPN), Cawangan Miri pada 09 Oktober 2010, iaitu dua hari sebelum Hari Raya Puasa yang lalu. Ada beberapa kesilapan yang perlu diperbetulkan, terutama sekali dari segi ejaaan dan juga tambahan artikel dalam Fasal-Fasal tertentu dalam Perlembagaan tersebut.


Semasa menemui pihak JPPN tempohari dan bertanya serba sedikit tentang kesilapan-kesilapan yang erlaku dalam kertas Perlembagaan, saya sempat bertanya kepada pegawai yang berkenaan. "Jika pembetulan-pembetulan dalam Perlembagaan kami sudah dilakukan, berapa lamakah masa yang diambil selepas ini untuk Perlembagaan ini diluluskan?" Beliau memberitahu, jika tiada halangan atau aral lain, kelulusan hanya akan mengambil masa satu (1) bulan sahaja. Sebab 'amendment' telah pun dibuat oleh pihak JPPN sendiri dalam Perlembagaan tersebut. Hati saya merasa sangat senang dan gembira apabila mendengar penjelasan dari pegawai tersebut. Manakan tidak, sudah hampir setahun saya dan AJK yang lain menunggu Perlembagaan ini untuk diluluskan. Ini bererti, tidak berapa lama lagi penantian kami semua akan menemui jawapannya. Terus-terang, saya mungkin orang yang paling senang hati dan paling merasa gembira. Sebabnya, saya yang telah diberikan 'amanah' untuk memikul tanggungjawab ini sejak dari mula. Saya juga sangat berharap ianya akan membawa keputusan yang akan mengubah segala persepsi perkara negatif jika ada, dan malah saya dan rakan-rakan AJK yang lain boleh mendabik dada jika ianya berjaya kami laksanakan.

Setelah menghadapi beberapa kesukaran dalam membuat Perlembagaan dan  terpaksa membuat pembetulan keatas Fasal-Fasal yang terkenadung dalam Perlembagaan, kini saya mulai merasa dan memahami sendiri, "bukan senang nak buat perlembagaan, ianya tidak semudah yang kita fikir dan kita cakap-cakapkan". Saya sangat menghargai setiap kesilapan yang saya sendiri lakukan setiap kali Perlembagaan ini ditolak oleh pihak JPPN, kerana saya mulai belajar dari kesilapan tersebut, malah akan menjadi satu pengalaman yang boleh saya kembangkan kepada pihak lain suatu hari nanti.


Mulai sekarang, saya sudah mulai boleh menarik nafas lega kerana mungkin selepas ini kuranglah sedikit pening kepala saya. Syukur alhamdullillah..."sekali saya mohon kepada Mu Ya Allah, permudahkanlah urusan kami, luluskanlah segalah usaha kami, berkatikanlah hasrat murni kami untuk menyatukan masyarakat kami dan bukakanlah jalan yang Engkau redhai untuk kami semua....Sesungguhnya Engkau Ya Allah maha pemurah lagi maha penyayang...amin ya rabbal alaminnn.....!!!!"