28 December 2010

Jika Salasilah Saya Begini, Bagaimana Pula Dengan Anda?

Teringat sewaktu saya masih kecil, tinggal bersama datuk dan nenek  (sebelah mak) di kampong. Pada masa itu, dikampong tidak ada bekalan elektrik, air paip, apatah lagi televisyen dan komputer. Bila menjelang waktu petang nenek selalu menyuruh saya dan sepupu saya memasang pelita minyak tanah, yang separuhnya bercampur dengan air. Disebalik cahaya lampu minyak tanah itulah datuk sering bercerita tentang macam-macam perkara, tentang kehidupan, agama, cerita dongeng, kekeluargaan dan sebagainya. Tetapi kebanyakkan cerita-cerita itu adalah cerita motivasi, walaupun hanya sekadar cerita seekor pelanduk dengan sang buaya yang bodoh. Semuanya ada pengajaran disebaliknya.

Tapi apa yang hendak saya ceritakan di sini bukan lagi cerita-cerita dongeng si pelanduk yang cerdik itu, tetapi cerita 'salasilah keluarga'  dan 'susur-jalur' keturunan nenek-moyang saya, yang selama ini sering membuat saya tertanya-tanya dan tercari-cari identiti sendiri. Yang ingin benar saya ketahui kebenarannya. Bukan kurang percaya yang telah diceritakan oleh datu-nenek saya sendiri, tetapi sekadar ingin mencari bukti yang terselindung entah di mana.


Menurut kata datuk, moyang lelaki (bapa datuk) saya berbangsa Iban yang berasal dari Simanggang (Sri Aman), sementara moyang perempuan (emak datuk) saya pula berasal dari kepulauan Indonesia, yang dipanggil Lampong Karam. Saya sendiri pun tidak tahu di manakah tanah itu. Walau bagaimana pun, datuk tidak menceritakan bagaiamana kedua moyang saya itu betemu dan menjadi suami isteri. Tapi datuk pernah menceritakan, moyang perempuan saya datang ke kampong dengan menaiki kapal layar bersama beberapa rakan yang lain dari Lampong Karam, Tujuannya adalah untuk menyebarkan siar Islam di samping mengajar ilmu agama. Tidak hairanlah, jika masa hidupnya moyang perempuan saya itu kerjanya mengajar anak-anak mengaji kitab suci al-quran. Bahkan datuk saya sendiri adalah orang yang sangat arif tentang ilmu  agama, malah datuk saya adalah satu-satunya anak mereka. Sementara di sebelah nenek perempuan pula, moyang saya berasal dari Mukah. Menurut cerita arwah bapa saya, moyang saya bergelar Orang Kaya Iso. Orang Kaya Iso adalah bangsa Melanau yang terkenal pada zaman dahulu. Orang yang berkedudukan atau berpangkat, sebab itulah beliau digelar Orang Kaya Iso. Arwah bapa saya pernah menyusun susur jalur keturunan Orang Kaya Iso ini kepada saya hinggalah ianya sampai ke salasilah kedua-dua nenek perempuan saya (iaitu nenek perempuan sebelah emak dan bapak, sebab kedua-dua nenek saya bersepupu).

Walau bagaimana pun, amat berlainan sekali dengan moyang di sebelah bapak saya. Menurut cerita arwah bapa saya, moyang lelaki saya berasal dari tanah Jawa. Patutlah semasa kecil-kecil dahulu saya pernah terlihat ada sekeping gambar perkahwinan lama (yang masih hitam putih) sepasang pengantin yang mana pengantin lelaki menggunakan pakaian Jawa yang lengkap dengan tengkolok Jawa di kepala. Rupa-rupanya itu adalah gambar moyang saya. Walaupun arwah bapa saya tidak pernah menyebut nama moyang saya itu tetapi arwah bapa saudara yang tua ( abang kepada arwah bapa saya) pernah memeberitahu bahawa nama moyang kami adalah 'Demang Gelimang Sutrawijaya'. Itulah nama sebenarnya..jika menurut cerita arwah bapa saya lagi, moyang saya itu bukan orang sebarangan (tidak payah lah saya teruskan....).

Begitulah serba sedikit salasilah dan susur-jalur keluarga saya. Salasilah inilah yang membuat saya tertanya-tanya dan tercari-cari identiti sendiri. Jika berpandukan cerita yang ada dan yang wujud, saya semakin tertanya-tanya, "Bagaimana saya boleh menjadi bangsa Melanau?" Bukan saya tidak mengaku orang Melanau tetapi....benarkah semua orang Melanau memang salasilah dan susur jalur keluaraga dan keturunan kami semua aslinya Melanau atau ianya wujud hasil dari campur aduk bangsa yang pelbagai. 

Nota: Tulisan saya ini hanyalah sekadar sebagai bahan untuk dibaca oleh orang yang ingin membacanya dan lalu berfikir tentang asal-usul diri sendiri. "Bare in mind..I'm The Real Melanau". 










No comments:

Post a Comment